Matahati

Saat matahari mahu pergi,
Manusia makin rancak melakar memori,
Seolah hari itu, hari terlangsai misi,
Padahal alhamdulillah pun belum dikecapi.

Saat matahari mahu tenggelam,
Berbondong manusia kepada kelam,
Gelap itu tidak berlampu manikam,
Sedang mata pun belum terusap dari haram.

Saat matahari mahu tinggal,
Manusia berkejaran memenuhi segala hal,
Dari yang cair kepada yang pejal,
Padahal sudah maktub mana halal.