Doakan yang baik-baik

Rasa macam dah lama sangat tak menulis dalam bahasa ibunda, Kadang sebab terkeliru sama ada nak guna perkataan saya/awak atau aku/kau. Baru saya perasan perempuan adalah sejenis makhluk yang sangat kompleks. Bukan maksud saya untuk generalkan hal ini, tapi umum sudah tahu hal ini secara eksplisit. Dalam kata mudah, saya tidaklah begitu agungkan bahasa penjajah atau tidak juga membencinya, saya lebih gemar mengambil pendekatan yang bersederhana. Mungkin sebab salah-silah keluarga saya hanya diancam Jepun je pun, jadinya mungkin saya akan lebih berhati-hati apabila mengambil dasar pandang ke timur. Saya pun agak tidak yakin untuk berbahasa ibunda sebab kadang-kadang mak saya sendiri pun struktur bahasa melayu (malaysia; bergantung kepada apa yang diperjuangkan) tak betul sangat. Tapi tidak mengapa, atas dasar patriotisme dan nationalisme (kita tetap ummatan wahid; tapi mungkin lebih kepada keberadaan saya di Malaysia), saya akan cuba menulis dalam BM dengan panjangnya. 

Berkenaan dengan keputusan mendadak yang saya ambil untuk pulang ke Tanah Air, walaupun keadaan tengah goyah sampai menyebabkan saya berbual secara intelektual dengan seorang lelaki semasa dalam perjalanan pulang dari Jordan (transit) ke Malaysia. Lelaki itu dari Sabah, ada sopannya saya bahasakan dirinya sebagai “Uncle”. Kami duduk selang satu kerusi, (seat saya 8F, dan dia 8D, dan kat tengah tak ada orang). Dia menegur saya dahulu dalam bahasa Inggeris tapi menyangka bahawa dia orang Malaysia, saya cuba berdwibahasa (kadang saya agak ke-Indonesian daripada ke-Sabahan, tapi tidak mengapalah sekurangnya saya cuba). Menurut intonasi suara yang halus, saya rumuskan beliau sebagai seorang yang baik hati. Dan apabila dia bercakap berkenaan Sabah, disitulah pelbagai sentimen-sentimen yang sensitif di utarakan, dan enmiti yang dirasakan sudah tidak dapat dibendung lagi. Cuba untuk meneutralkan keadaan, saya cuba selatankan beberapa hal tapi apakan daya saya tak pernah menjejaki selatan tanah air, saya agak gagal disitu (“lame” sikit lah). Kegusaran yang dirasainya sebagai seorang bumiputera turut saya rasai dan pada ketika itu saya rasa longlai dan lemah, memikirkan apa yang patut saya buat. Dia akhiri perbualan itu dengan berkata, “takpelah u ada 10 jam (masa perjalanan) lagi sebelum sampai Malaysia nak pikir apa u patut buat.” 

Agak mendalam tusukan kata-katanya, saya agak panas seketika dalam pendingin hawa kapal terbang. Tapi disebabkan keletihan (transit di Jordan selama 6 jam), saya hanya mampu tidur selama 10 jam dan bangun hanya pada waktu makan. Saya tak sempat nak fikir. Tapi disebabkan saya duduk dekat KLIA dari 0000 sampai 1055, saya sempatlah berfikir sejenak tentang kerisauan yang patut saya rasa. Adakah cukup dengan risau? Adakah perlu kerisauan yang tidak membina? Adakah perlu kerisauan yang hanya akan membuahkan ide-ide kosong (hirupan kedai kopi)?

Sambung balik, berkenaan kepulangan saya ke Malaysia, saya dihujani pelbagai persoalan yang menunjukkan direksi yang sama, rata-rata mengesyaki saya kepulangan saya adalah untuk mengubah status kehidupan saya. Agak terkejut saya dengan reaksi kawan saya ini,

“Jangan senyap senyap la, nak kawen ke tunang ke gitau la. Tanak kawan kang.”

Begitu sekali sayangnya kawan-kawan (I’m so blessed) dekat saya tapi saya tetap tenang dan tabah, dengan jawapan skematikal;

“Doakan yang baik-baik.”

Dan akhirnya, itu menyebabkan kawan saya makin bengang lol.

Melihat cara fikir rakan-rakan sebaya, membuatkan saya terfikir yang alahai sudah dewasanya kita. Kalau dulu status sosial yang kita agungkan adalah dengan ada ramainya “followers” di media social yang 80% tidak kita kenal pun. Pengiktirafan sosial yang sangat picisan kita harapkan, dan kita bagi generasi 90-an, kahwin adalah status sosial baru yang “patut” kita kejar. Beginilah manusia, maafkan saya sekali lagi tergeneralkan hal ini. Tapi secara implisitnya itulah keadaannya.

Inilah salah anggap kita pada perkahwinan, iaitu hanya sebagai status sosial ataupun pengakhiran yang sejahtera dalam kehidupan. Sedangkan, ia lebih daripada itu. Kolektifnya akan merasa hal ini adalah solusi terbaik dalam segala permasalahan. Adakah kita sedang menipu diri sendiri, ataupun khayalan drama adaptasi novel menjadi hujah kita? Tapi itulah, pelbagai asbab yang kita cipta atau rasa itu bukanlah sebab konkrit untuk kita berkahwin. Kita harus bangun dari lamunan kita, yang perkahwinan bukan sahaja melibatkan dua pihak yang saling mencintai satu sama lain. Tapi melibatkan lebih dari jasad kita, dan pasangan. 

Apa yang kita inginkan dari perkahwinan? Rasa cinta yang tidak berkesudahan? Kita perlu ingat, pasangan kita manusia, punya hati dan perasaan. Dia bukan siri (/simsimi) yang akan ada bila saat kita perlu dan mendengar segala bebelan kita. Dia juga punya komitmen sebagai seseorang yang manusiawi. Egosentrik masing-masing tidak boleh dilunaskan lagi sesudah berumah tangga. Pada masa inilah, “give and take” perlu harmoni. Kerana perkahwinan itu bukan ruang untuk kita pentingkan diri, malah mementingkan orang lain. Masing-masing kena ada sikap toleransi yang tinggi, skil komunikasi yang efektif kerana berkongsi ruang dan perasaan itu bukan hal mudah. 

Perkahwinan juga bukan untuk menunjukkan kelebihan-kelebihan yang kita ada. Lain pula masa zaman bercinta, segala kelebihan mahu ditonjolkan agar kita tampak sempurna di mata dia tapi mana lagi kita mahu lari dari realiti, tiada siapa sempurna. Perkahwinan adalah untuk kita saling menerima kelemahan masing-masing sebab pada tuntasnya memang kita akan hidup dengan kelemahan masing-masing. 

Takrifan perkahwinan bagi kita adalah hal-hal manis bergula sahaja sampai mahu diabetes tapi bolehkah perkahwinan memenuhi ekpektasi kita sebegini? “Reality check!” Ia bukanlah dengan beribu baris patah kata puitis, bukanlah dengan sekebun bunga yang apabila hampir layu akan diganti baru, bukanlah dengan 50 batang lilin di meja makan, bukan. Tak salah, tapi itu adalah nilai tambahan dalam perkahwinan. Nilai tambahan takkan punya makna kalau ekspektasi kita tinggi. Jadi, turunkan jangkaan itu sedikit dan bawa-bawalah berhenti tengok drama melayu. 

Tak dilupakan juga rasa fobia bila berfikir hal kahwin ni, sangat abstrak perasaan tidak bersedia itu, dan tidak berkategori. Banyak benda kita tak sedia nak lepaskan, kadang-kadang kita terlalu meletakkan harapan pada diri kita sendiri atas apa yang kita mahu capai sebelum berkahwin. Rasanya kena tanya diri sendiri, adakah hal-hal yang kita nak itu akan terberhenti sejurus sahaja kita berkahwin? Rasanya sampai kesudah kita takkan sedia. Kadang bersedia pun harus dipaksa. Macam buat kerja sekolah, kalau cikgu tak minta kita akan jadi manusia paling relaks dalam dunia tapi kalau cikgu dah minta, kena juga paksa diri tu.

Akhir kata, elakkanlah diri kita menjadi seorang yang ektremis  — terlalu nak kahwin, dan terlalu taknak kahwin. Ambillah pendekatan yang sederhana, sesungguhnya itu adalah lebih baik. Sekarang pun musim orang kahwin, barakallah kepada yang mendirikan rumah tangga, moga baitul muslim yang dibina itu atas taqwa. Kepada yang belum kahwin, masa itu akan tiba, tak dekat dunia inshaAllah dekat syurga :) Yang menulis ni macam dah kahwin pula :p